Saturday, 16 April 2011

EMAS DAN WANITA

TIADA sebarang kenyataan rasmi mengenai emas yang perlu dikaitkan dengan wanita, namun masyarakat sejak dulu memperakui emas adalah barang paling akrab dengan golongan hawa itu kerana tanpa secalit kilauan emas pada wanita, penampilan mereka dirasakan seperti tidak sempurna.

Bahkan, pepatah hanya jauhari mengenal manikam wajar ditujukan kepada wanita kerana lazimnya mereka arif mengenai 'kelas' barang kemas terutama jika dinilai dari sudut pertukangan, potongan batu dan nilai batu yang digunakan sama ada serasi atau tidak dengan mereka.
Walau seribu tahun akan datang, emas tetap menjadi pilihan wanita kerana kerlipan emas mampu menaikkan seri wanita, melonjakkan nilai kewanitaan pemakai dan meletakkan wanita dalam keadaan selesa untuk tampil yakin.

Hakikatnya, kerlipan emas dikatakan menjadi tarikan sejak beribu tahun dulu, malah ketika itu barang kemas yang diperbuat daripada emas bukan saja menghiasi wanita, bahkan lelaki. Lebih banyak seseorang itu memakai barang kemas, lebih tinggi darjatnya di kalangan masyarakat.

Begitu pun, kedatangan Islam menetapkan bahawa lelaki tidak dibenarkan memakai emas menyebabkan kegunaannya lebih cenderung untuk wanita dan kekal ke hari ini.
Antara mitos popular membabitkan emas, bandar purba di lembah Amazon, Brazil yang dikatakan diperbuat sepenuhnya daripada emas dan diketuai wanita. Walaupun sehingga kini tiada siapa dapat mengesahkan cerita itu, bandar mistik berkenaan popular hingga ke hari ini dan menjadi buruan penjarah harta karun kerana tiada siapa tahu lokasi sebenarnya.

Selain itu, kaum Inca di Peru yang dikatakan rakyatnya disaluti emas turut menjadikan emas sebagai barang keperluan sehinggakan ada cerita yang mengatakan masih banyak lagi harta karun masyarakat yang sudah pupus daripada bumi itu, tersembunyi.

Zaman silih berganti, apabila konsep perdagangan diperkenalkan, emas menjadi antara mata wang utama masyarakat ketika itu untuk berdagang kerana keunikannya. Hari ini, emas masih lagi kekal diminati masyarakat dan di Malaysia, wanita Kelantan antara golongan yang dikatakan pencinta barang kemas itu.

Kecenderungan itu dilihat apabila kebanyakan wanita di negeri Cik Siti Wan Kembang menyuburkan budaya pemakaian barang kemas diperbuat daripada emas sehingga ada yang berjenaka 'tangan dan leher wanita Kelantan sentiasa disaluti perhiasan emas' bagi menggambarkan minat mereka.
Sebenarnya bukan saja wanita di Kelantan, sebaliknya wanita Pulau Pinang juga antara pencinta emas. Bukan seurat dua, bahkan penuh di leher dan tangan dihiasi gelang besar atau rantai emas panjang bersaiz besar.

Bagi mereka yang meminati emas, pembelian barang kemas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya pelaburan kerana jika keadaan terdesak, barang kemas berkenaan boleh dijual balik terutama ketika harga emas meningkat.

No comments:

Post a Comment